Stadium Nasional Bukit Jalil Ditegur Barcelona


Hamidin janji akan pantau butiran perjanjian promoter dengan kelab asing sebelum beri lampu hijau

Shah Alam: Jika Barcelona tidak menegur mengenai keadaan rumput di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang ‘tak sesuai untuk perlawanan bola sepak’ rasanya sampai bila pun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu pun penganjur tak akan belajar.

Kecoh mengenai pertukaran gelanggang ke Stadium Shah Alam pada saat-saat terakhir sehingga menyulitkan orang ramai harus mengundang bicara kenapa pihak berkenaan tidak menasihatkan promoter BSC Soccer (M) Sdn Bhd memilih gelanggang lain selepas menyedari realiti sebenar keadaan rumput tidak sesuai untuk perlawanan seperti ini.
KBS juga difahamkan sedar dengan masalah rumput di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Pada 6 Jun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hadir memeriksa keadaan gelanggang dan rumput di Stadium Nasional sebelum memutuskan ia perlu ditutup selama enam bulan bermula Oktober ini untuk kerja menggantikan rumput baru.


Persoalannya, kenapa KBS dan FAM tidak tegas sebaliknya membiarkan promoter berkenaan meneruskan acara mereka tanpa memikirkan risiko seperti ini akan berlaku. Ini juga soal maruah negara kerana media asing juga difahamkan menghebohkan kepincangan mengenai perlawanan persahabatan itu.


Rujuk sebelum janji

Sebagai langkah memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan, FAM berjanji tidak akan memandang ringan sebaliknya akan memastikan promoter merujuk kepada badan induk itu sebelum membuat perjanjian dengan kelab ternama dunia dalam siri jelajah mereka.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata untuk mengelak perkara seperti ini berulang, FAM akan lebih bertegas dengan mana-mana promoter dan menganggap ia satu pengalaman kepada pihak promoter dan FAM sendiri.

“Kami perlu peka dari segi persiapan terutama penyediaan venue dan memperinci isi kandungan kontrak. Selepas ini, kita akan pastikan mana-mana promoter perlu mengikut garis panduan ditetapkan FAM dan jika gagal, kita takkan membenarkan mereka menganjurkan perlawanan seumpama ini.

“Promoter tak boleh sewenang-wenangnya membuat perjanjian yang melanggar garis panduan. Ia supaya tidak berlaku seperti kunjungan kelab-kelab luar ini umpama ‘touch and go’ saja,” kata Hamidin ketika ditemui di Shah Alam, semalam.


Kongsi pengalaman, nasihat

Ada yang turut menyalahkan FAM mengenai kekecohan yang berlaku sepanjang menjelangnya perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 3-1 kepada Barcelona, malam kelmarin tetapi harus diingat badan induk itu hanya mempunyai kuasa dalam hal-hal teknikal seperti menyediakan pasukan dan pemain, padang, pengadil dan kebenaran untuk perlawanan manakala segala keputusan lain ditetapkan oleh promoter dan kelab berkenaan.

Justeru Hamidin bakal mewajibkan beberapa perkara asas lain yang perlu dimaktubkan dalam perjanjian antara promoter dan kelab terbabit pada masa akan datang supaya ia lebih memberi faedah dan manfaat.

“Beberapa elemen perlu kita persetujui contohnya pengurus atau jurulatih kelab-kelab ini perlu mengadakan sesi satu atau dua jam bersama jurulatih-jurulatih FAM untuk berkongsi pengalaman dan nasihat selain turut diadakan satu sesi bersama pengurusan tertinggi FAM dan termasuk juga pihak media supaya kunjungan mereka ke sini lebih bermanfaat,” jelas Hamidin.