Tujuh Keajaiban Yang Ada di Malaysia

Menyentuh isu struktur dan seni bina, kita tidak dapat lari daripada membicarakan mengenai tujuh perkara ajaib di dunia. Bagaimanapun, mungkin tidak ramai daripada kita yang sedar, negara kita juga mempunyai tujuh seni bina ‘ajaib’. 

Sebenarnya artikel ini tidak merujuk mana-mana pengiktirafan, akan tetapi ia adalah antara binaan yang luar biasa terdapat di Malaysia. Selain itu mungkin terlalu jauh untuk kita bandingkan dengan tujuh keajaiban yang terkenal di dunia, tetapi sebagai sebuah negara yang masih muda, Malaysia patut berbangga kerana mempunyai struktur-struktur binaan yang menakjubkan.

 

Antara tujuh struktur binaan yang boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang menakjubkan di negara ini ialah:
1. Menara berkembar Petronas (KLCC)
2. Menara KL
3. Putrajaya
4. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
5. Jambatan Pulau Pinang
6. Bangunan Sultan Abdul Samad
7. Menara condong Teluk Intan

1.Menara berkembar Petronas (KLCC)
Apa: Bangunan berkembar yang menjadi salah satu daripada kebanggaan rakyat Malaysia ini memuatkan pejabat dan juga pusat membeli belah tumpuan ramai.

Kedudukan: Di tengah bandar raya Kuala Lumpur

Fakta: Bangunan ini direka bentuk oleh Ceasar Pelli, hasil ilham dari bentuk geometri Islam. Bangunan ini diperbuat daripada konkrit, besi dan kaca. Bangunan setinggi 452 meter ini merupakan bangunan kembar tertinggi di dunia dengan 88 tingkat bagi setiap bangunan. Bangunan ini disambung di tengahnya oleh sebuah jambatan.

Menakjubkan: Menara berkembar ini dilengkapi dengan 32,000 buah tingkap, 29 buah lif laju dan 10 buah tangga bergerak di setiap bangunan.

2.Putrajaya
Apa: Pusat pentadbiran kerajaan bercirikan bandar dalam taman dan bandar pintar

Kedudukan: Meliputi kawasan seluas 4,581 hektar di Prang Besar, Sepang, Selangor.

Fakta: Mula dibina pada 16 April 1995. Fasa pertama pembinaannya termasuk Pejabat Perdana Menteri siap pada tahun 2000. Pembinaan Putrajaya dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa 15 tahun bermula tahun pembinaanya pada 1996. Kawasan ini dibahagikan kepada dua kawasan utama iaitu kawasan pusat dan kawasan persekitaran. Kedua-dua kawasan ini dipisahkan oleh sebuah tasik besar. Kawasan pusat menempatkan pejabat-pejabat kerajaan yang dibahagikan kepada lima prisin iaitu prisin kerajaan, komersial, sivik dan kebudayaan, pembangunan bercampur dan sukan serta rekreasi. Kawasan persekitaran pula mempunyai 14 kawasan perumahan.

Menakjubkan: Apabila siap sepenuhnya, Putrajaya dijangka akan mempunyai 67,000 buah rumah di sekitarnya dengan populasi 330,000 orang.

3.Menara Kuala Lumpur 
Apa: Menara keempat tertinggi dunia dan yang tertinggi di Asia Tenggara

Kedudukan: Bukit Nanas, Kuala Lumpur

Fakta: Menara Kuala Lumpur yang mengambil masa pembinaan empat tahun bermula pada 1992 ini direka bentuk khusus supaya dapat menahan kelajuan dan tekanan angin sehingga 144.5 km sejam. Berat keseluruhan menara konkrit ini ialah 100,000 tan dengan ketinggian 421 meter. Ia dibina menggunakan 45,000 meter padu konkrit kukuh dan 1,300 struktur keluli. Menara ini mempunyai 2,058 anak tangga.

Menakjubkan: Lif di bangunan ini mempunyai kelajuan sehingga 9.6 km/saat dan ia mampu sampai ke menara dalam masa kurang daripada seminit iaitu lebih kurang 54 saat.

4.KLIA
Apa: Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini adalah antara lapangan terbang terbesar dan termaju di dunia.

Kedudukan: Kira-kira 50 kilometer di selatan Kuala Lumpur dan meliputi kawasan seluas 10,000 hektar.

Fakta: KLIA yang disiapkan dalam jangka masa yang singkat iaitu empat setengah tahun ini melibatkan 25,000 tenaga kerja dengan kos RM13.3 bilion. Lapangan terbang ini mempunyai 46 pintu jejantas aero, dua landasan tercanggih dan 106 stesen kapal terbang berbanding Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang mempunyai hanya 14 jejantas aero dan 44 stesen kapal terbang. Dinding bangunan KLIA bukan diperbuat daripada batu bata seperti sebelum ini, sebaliknya daripada besi geometri yang menampung kaca bagi membolehkan pemandangan dapat dilihat dari luar tanpa sebarang gangguan.

Menakjubkan: Terdapat kira-kira 1,300 kamera televisyen keselamatan di seluruh lapangan terbang ini.

5.Menara Condong Teluk Intan
Apa: Menara jam yang dibina oleh seorang kontraktor, Leong Chonn Chong pada tahun 1885 dengan tujuan asal menyimpan air.

Kedudukan: Di tengah-tengah bandar Teluk Intan, Perak.

Fakta: Bentuknya seperti sebuah pagoda. Dari luar ternampak seolah-olah menara ini adalah bangunan lapan tingkat, tetapi sebenarnya hanya terdapat tiga tingkat sahaja. Di tingkat atas sekali terletak tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Ketika dibina pada tahun 1885, ia dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan sehingga kini. Bagaimanapun, apabila bangunan ini telah condong sedikit ke arah barat laut, ia mula dikenali sebagai Menara Condong. Bangunan ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 4.6 meter. Struktur bangunan ini dibuat daripada batu dan kayu dan setiap tingkat dilengkap dengan lorong jalan kaki. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 12.9 meter 43 kaki dan menguncup ke atas 8.1 meter.

Menakjubkan: Kerana keunikannya, Menara Condong Teluk Intan ini juga dikenali sebagai Menara Condong kedua di dunia selepas Menara Pissa di Itali.

6.Jambatan Pulau Pinang
Apa: Sebuah jambatan yang menghubungkan tanah besar semenanjung dengan Pulau Pinang. Jambatan ini merupakan salah satu mercu tanda kebanggaan negara dan merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di Asia.

Kedudukan: Antara Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Fakta: Hasrat untuk membina jambatan sepanjang 13.5 km ini telah mula diilhamkan sejak tahun 1971 lagi. Setelah beberapa rundingan dilakukan, jambatan yang mula dibina pada 1982 dengan kos RM850 juta ini menjadi kenyataan pada September 1987. Pembinaanya dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Rentang utamanya sepanjang 225 meter dibina menggunakan kaedah cable stayed girder. Lokasi tertingginya dari paras laut ialah 32 meter. Jambatan ini dibina dengan empat lorong dan dilebarkan kepada enam lorong di bahagian rentang utamanya. Jambatan ini mempunyai dua buah persimpangan bertingkat dan sebuah tol plaza.

Menakjubkan: Jambatan ini boleh menampung 100,000 kenderaan sehari.

7.Bangunan Sultan Abdul Samad 
Apa: Bangunan utama yang didirikan di Kuala Lumpur yang ketika itu hanya mempunyai rumah-rumah kedai yang kecil. Bangunan ini kini menempatkan Mahkamah Persekutuan Malaysia, Mahkamah Rayuan dan Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedudukan: Jalan Raja, Kuala Lumpur

Fakta: Bangunan ini meliputi dua bangunan berkembar dengan ketinggian 17.1 meter dan meliputi 10,200 meter persegi. Pembinaannya mengambil sempena nama Sultan Selangor keempat iaitu Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu (1859 – 1898). Bangunan ini dilengkapi dengan menara berkubah tembaga dan mempunyai menara jam setinggi 130 meter.

Menakjubkan: Sebuah kilang telah diwujudkan khusus bagi membekalkan empat juta bata merah dan juga bahan-bahan pembinaan lain seperti kayu, simen, batu kapur, tembaga dan besi untuk membina bangunan ini.

Guiza dan Del Nero tinggalkan Johor DT

AKSI suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor malam ini bakal menjadi penampilan terakhir buat dua pemain import Johor Darul Takzim (Johor DT), Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Kedua-dua pemain itu akan meninggalkan Johor DT selepas berakhirnya perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membuat keputusan untuk menamatkan kontrak mereka lebih awal.

PBNJ dalam kenyataannya semalam menjelaskan, keputusan untuk melepaskan Guiza dan Del Nero dibuat selepas mengambil kira kedudukan pasukan dan juga prestasi kedua-dua pemain setelah tamatnya pusingan pertama Liga Super minggu lepas.


Pemangku Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, kontrak pinjaman Guiza daripada kelab asalnya, Getafe FC akan berakhir dalam tempoh empat bulan lagi dan dia tidak boleh membantu Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia, Ogos nanti.
Del Nero pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan ini sedikit sebanyak menjejaskan prestasi- nya dalam pasukan.

Tidak dinafikan bahawa kedua-dua pemain, Daniel Guiza dan Simone merupakan pemain bertaraf antarabangsa yang telah banyak membantu pasukan berada di kedudukan sekarang tetapi keputusan ini terpaksa diambil."

Memandangkan musim perpindahan pemain akan dibuka pada 8 April ini, pihak pengurusan mengambil keputusan melepaskan kedua-dua pemain bagi membolehkan kami mencari pemain pengganti yang berkaliber untuk menggantikan mereka,” kata Obet dalam kenyataannya semalam.

Menurut Obet, pemain tengah pasukan Johor dalam Liga Premier, Andre Francisco Rocha Da Silva telah dikenal pasti untuk mengambil alih tempat Del Nero manakala beberapa pemain lain sedang diuji jurulatih pasukan, Fandi Ahmad bagi menggantikan tempat Guiza. 

Katanya, tiga pemain telah disenarai pendek dan pihak pengurusan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Guiza dan Simone atas jasa mereka kepada pasukan."

Saya akan pastikan bahawa pengganti mereka akan mempamerkan mutu persembahan yang lebih baik dan cemerlang berbanding pemain-pemain import sebelum ini bagi memastikan visi transformasi pasukan Johor DT tercapai,” katanya.

Guiza yang merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007-2008 ketika mewakili Mallorca, berjaya menyumbat lapan gol untuk pasukan Johor DT dalam 13 perlawanan bagi membolehkan skuad Harimau Selatan berada pada kedudukan ketiga Liga Super dan mara ke pusingan suku akhir Piala FA.

Sementara itu, Del Nero yang pernah membantu pasukan bawah 21 tahun Itali bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama, sering kali memanaskan bangku simpanan Johor DT kerana masalah kecederaan.



SUMBER - KOSMO

Pihak Tentera Delhi Mengesan 100 Biji UFO di Ruang Udara Mereka

Pihak tentera India dan Pasukan Polis Sempadan India-Tibet (ITBP) mendakwa telah mengesan sekurang-sekurangnya 100 biji UFO di ruang udara Jammu dan Kashmir bulan lepas.

Menurut Akhbar India Today, ITBP sudah memberikan maklumat terperinci UFO yang dilihat dalam laporan mereka kepada ibu pejabat New Delhi dan juga kepada Pejabat Perdana Menteri.

Menurut laporan objek bercahaya tidak dikenali atau UFO itu dilihat di ruang udara wilayah terbabit dan mereka menolak kemungkinan cahaya itu datang daripada pengangkutan udara, pesawat tanpa pemandu atau satelit yang sedang mengorbit bumi pada paras rendah.

“Objek bercahaya yang kita nampak itu bukan pesawat tanpa pemandu, kapal terbang atau satelit yang mengorbit bumi,” kata seorang pegawai tentera yang sedang menjalankan kajian ke atas foto kabur yang diambil pasukan ITBP.

Sepasukan tentera yang telah merekodkan penemuan UFO dan pesawat tanpa pemandu secara berasingan, sudah melakukan beberapa usaha bagi mengenal pasti objek berkenaan.

Laporan mengenai kehadiran Objek Terbang Tidak Dikenali pernah dibuat di wilayah Ladakh sebelum ini. Kehadiran objek tidak dikenali yang semakin kerap berlaku telah mendorong pihak tentera menjalankan kajian terperinci mengenainya.

Pasukan tersebut cuba untuk mengenal pasti objek terbang itu September lalu dengan menggunakan radar dari darat dan penganalisis spektrum. Akan tetapi, mereka gagal kerana kedua-dua peranti yang digunakan itu gagal mengesannya.

Mumbai Cricket Association Ban Shah Rukh Khan 5 Tahun



Satu demi satu perkara yang tidak diingini berlaku terhadap superstar Bollywood Dato` Shah Rukh Khan yang punya fans serta pengikut besar di seluruh dunia ini.

Terbaru, Mumbai Cricket Association atau MCA telah mengeluarkan hukuman penggantungan selama 5 tahun terhadap pemilik Kolkata Knight Riders (KKR) itu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan dengan kelabnya.


Penggantungan selama 5 tahun itu termasuklah tidak membenarkan dia untuk menghadiri perlawanan IPL yang mana ia bakal menyaksikan kelabnya menentang Mumbai Indians di Stadium Wankhede pada 7 Mei nanti.

"Ada klausa di dalam perjanjian yang menyatakan bahawa sesiapapun yang telah dihukum gantung oleh persatuan, tidak akan dibenarkan di dalam premis milik persatuan. Secara spesifikasi, ianya tidak tertumpu pada mana-mana individu. Dan, kami sudah pun memaklumkan perkara ini kepada semua pihak yang berkaitan terutamanya pihak IPl serta pemilik kelab mengenai hukuman penggantungan tersebut dan keputusan telah pun dibuat," kata Setiausaha Bersama MCA, Nitin Dalal.

Seorang lagi Setiausaha Bersama MCA, PV Shetty pula enggan mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, namun dia menyatakan bahawa hukuman penggantungan itu tetap akan dilaksanakan.

Hukuman penggantungan selama 5 tahun terhadap Shah Rukh Khan itu melarang dia untuk menjejakkan kaki ke premis MCA dan ia termasuklah Stadium Wankhede dan ianya telah diputuskan sendiri Managing Committee persatuan itu yang telah dikepalai mendiang Vilasrao Deshmukh pada 18 Mei tahun lalu selepas Shah Rukh Khan bertindak kasar terhadap kakitangan keselamatan serta beberapa pegawai.

Insiden itu berlaku selepas kelab kriket milik Shah Rukh Khan memenangi perlawanan selepas menewaskan Mumbai Indian dua malam sebelumnya.

Shah Rukh Khan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa dia bertindak begitu setelah kakitangan keselamatan serta beberapa pegawai tidak melayan kanak-kanak secara baik termasuklah anaknya sendiri di dalam stadium.

Sharifah Shahira Jadi DJ Radio UFM


Setelah menamatkan kerjayanya sebagai penyampai radio di Suria FM sedikit masa yang lalu, pelakon dan pengacara, Sharifah Shahira kini telah pun kembali memulakan tugas yang sama di sebuah stesen radio baru, UFM (Uniti FM) Malaysia bermula 1 April lalu.


Mengendalikan segmen Ikon Everyday, Sharifah Shahira tidak keseorangan kerana setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga 8 malam dia akan bersama tetamu jemputan yang terdiri daripada orang kebanyakan yang mempunyai pekerjaan yang kurang popular di Malaysia tetapi memberi sumbangan yang agak besar daripada segi ekonomi.

Pengurus stesen UFM Malaysia, Amirah Sakhia Shamsuddin berkata pihaknya sengaja lari daripada kebiasaan segmen yang ada di mana-mana radio.

Malah, segmen tersebut adalah bertujuan untuk menghargai usaha dan penat lelah jasa golongan pekerja yang menggerakkan ekonomi Malaysia.

"Radio merupakan sebuah medium interaktif untuk berkongsi pendapat, kewujudan Ikon Everyday adalah sebagai platform untuk semua rakyat Malaysia tidak kira jenis pekerjaan dan taraf sosial untuk berkongsi pengalaman hidup mereka dan seterusnya memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lainSelain menyediakan ruang dan peluang untuk berkongsi pengalaman mengenai pekerjaan harian mereka, UFM ingin memberikan peluang kepada pendengar untuk menilai hidup dari perspektif yang berbeza, seterusnya mensyukuri nikmat dan kelebihan yang dikurniakan pada setiap individu," katanya.

Radio UFM yang berfrekuensi 101.3 itu, baru sahaja beroperasi pada 1 Januari 2013.

Selain Sharifah Shahira, penyampai radio lain yang mengendalikan segmen lain di radio tersebut adalah Jimmy Shanley, Tyzo dan ramai lagi.

Video Muzik Mizz Nina Mula Ditayangkan Di Korea




Seorang demi seorang penyanyi dan nama-nama besar dalam dunia muzik antarabangsa telah berjaya dipilih Mizz Nina untuk menjadi rakan duet.

Daripada penyanyi rap Colby O'Donis ke Flo-Rida dan yang terkini penyanyi rap sensasi dari Korea Selatan, Jay Park.

Menerusi lagu Around The World, Mizz Nina telah bergabung tenaga dengan rapper daripada Korea Selatan yang mempunyai pengaruh besar di Amerika Syarikat.

Lagu yang dicipta oleh komposer popular, Cha Cha Malone itu telah menjalani penggambaran di Korea Selatan di bawah arahan Nam-il Cho.

Mizz Nina ketika ditemui pada malam pertunjukan fesyen himpunan terbaru pereka muda, Zakwan Anuar di Kuala Lumpur Performing Art Centre baru-baru ini menyatakan perasaan gembiranya apabila kolaborasi itu menunjukkan perkembangan positif.

"Buat masa ini Alhamdulillah. Muzik video yang baru dilancarkan dalam tempoh lebih kurang seminggu itu telah mendapat sambutan dan ditonton lebih 300,000 penonton di YouTube (350,155 ketika artikel ditulis) dan kini telah pun disiarkan di MTV Asia.

"Seperti dijadualkan dalam beberapa hari ini, ianya akan disiarkan di kebanyakan saluran MTV seperti MTV Iggy, MTV Korea dan kini pihak pengurusan akan cuba untuk memasuki stesen radio di sana bagi mempromosi lagu berkenaan."

"Saya juga sedang mengintai peluang untuk mengadakan siri jelajah sebagai langkah promosi dan berharap mendapat sambutan baik disana,"ujar Mizz Nina ketika bercakap mengenai kolaborasinya bersama bintang K-Pop, Jay Park.

Isteri kepada pemuzik dan vokalis dari kumpulan Hujan, Noh itu juga gembira dapat berkerjasama dengan nama besar seperti Jay Park dan ia merupakan salah satu pengalaman yang menarik sepanjang kariernya menjadi penyanyi.

"Pengalaman yang lain dari yang lain bekerjasama dengan Jay Park.

"Pada mulanya saya ingat dia seorang yang pemalu melalui karakternya.

"Sebaliknya dia seorang yang rendah diri walaupun sangat popular dan memang mempunyai bakat yang luar biasa," ceritanya.


15 Rahsia Keajaiban Kaabah




Berikut 15 perkara merupakan keajaiban yang kurang diketahui ramai tentang struktur Kaabah dari sudut sains :

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.

2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.

4. Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman.kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.

7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itulah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.

10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.

11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Kaabah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma (lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu barulah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.


"Semoga dengan serba sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita manfaat bersama
إن شاء الله"

Kasih Suami Merelakan Isterinya Pergi


"Pergilah Gee. Pergilah! Walau selepas ini abang tidak lagi dapat mendengar suara rengekmu, tidak lagi dapat menyapu air matamu, namun abang reda.

"Pergilah! Abang yakin, di sana DIA menyediakan tempat lebih baik untukmu. Di sana, akan hilang segala sakit menyerang. Akan lenyap segala derita yang sayang tanggung selama ini."



Dalam kesayuan, Abil Fikri Ahmad, 44, masih murah dengan senyuman. Namun, tangis di hatinya, hanya dia saja yang tahu.

Pemergian isteri tercinta, Fauziah Muhamad, 39, kira-kira jam 9.50 pagi semalam, pasti menjerut tangkai hatinya.

Fauziah atau lebih mesra dipanggil Gee, menderita penyakit saraf sejak hampir dua tahun lalu. Bermula dengan serangan lelah, Gee kemudian menderita lumpuh.

"Gee tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma sejak kebelakangan ini, keadaannya tenang berbanding biasa. Tidur malamnya sangat lena.

"Malam tadi pun (kelmarin), saya meneman Gee hingga jam 2 pagi. Seperti biasa, saya duduk di sisinya. Melihat matanya, bibirnya segenap wajahnya. Saya tidak pernah rasa puas merenung Gee. Dan selepas ini, tidak lagi wajah itu untuk saya tatap..."

Suara Abil seolah tersekat. Dadanya sebak.

Pagi tadi (semalam) selepas solat Subuh, saya curi masa untuk tidur sebelum bangun semula bagi dia minum susu. Ketika sedang bancuh susu di tepi katil, Gee tiba-tiba menarik nafas dengan kuat. Dua kali..."

"Dia pergi dengan tenang. Wajahnya juga sangat tenang dan bersih. Gee memang isteri yang baik," nada suara Abil semakin hiba. Memanglah berat mata kita melihat kesedihan ditanggung Abil. Namun, berat lagi hatinya menanggung kesedihan atas kehilangan isteri tercinta.

"ALLAH pinjamkan Gee kepada saya hanya sementara ketika dia sihat dan sakit. Sekarang ALLAH ambil dia kembali. Walau sekasih mana pun saya pada Gee, ALLAH lebih menyayangi dia. Saya reda!"

Menurut Abil, sejak hujung Januari lalu kesihatan isterinya tidak lagi menentu. Berat badannya semakin menyusut. Mulutnya pula tidak lagi dapat ditutup.

Malah katanya, arwah tidak lagi menunjukkan sebarang tindak balas ketika diusik berbanding biasa.

"Saya melihat perubahannya. Semakin hari semakin lemah.

Sebelum ini jika saya usik tapak kaki Gee, dia akan bertindak balas. Tapi sejak akhir-akhir ini tiada lagi.

Dia pun tidak lagi marah-marah atau merengek. Apa yang saya nampak keadaannya sangat tenang dan dia akan buka mata setiap kali saya berada di dalam bilik,” katanya.

Selain itu katanya, sebelum ini, menerusi laman blognya, dia juga turut meminta rakan-rakan dan pembaca agar sama-sama mendoakan keadaan kesihatan isterinya yang semakin tidak menentu.

Namun ajal dan maut di tangan TUHAN. Isteri tersayang yang dijaga penuh perhatian akhirnya pergi buat selama-lamanya.

Ketika dia sihat saya pernah tanya adakah dia berpuas hati saya menjadi suaminya dan dia cakap dia bersyukur.

Tapi sekarang saya hanya dapat tanya diri sendiri, adakah saya telah menjaga isteri saya dengan baik ketika dia sakit dan menjalankan tanggungjawab dan ujian daripada ALLAH ini dengan sempurna,” katanya.

Ketika ditanya tentang perancangannya selepas ini, kata Abil, dia tiada perancangan khusus namun berhasrat menjadi pakar motivasi bagi berkongsi pengalaman tentang alam rumah tangga.

Sementara itu, rumah Abil tidak putus-putus dikunjungi orang ramai termasuk Raja Datin Seri Salbiah Nujumuddin dan pemimpin setempat.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Rasah dan selamat dikebumikan di Makam Haji Said, Sikamat kira-kira jam 4 petang.

Abil mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada 13 Mac 2009, namun selepas dua tahun merasai nikmat alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi
berfungsi.

Abil yang bekerja sebagai perunding kewangan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa sebaik mungkin.

Penderitaan dan ketabahan Abil menjaga isterinya mendapat perhatian umum yang bersimpati selain kagum dengan sikapnya.

"Moga di sana nanti Gee lebih damai. Moga di sana nanti Gee lebih bahagia. Moga di sana ALLAH menempatkannya bersama para syuhada. Dan moga ALLAH mempertemukan Gee dan Abil di syurga abadi."

Gambar Punca Kubur P Ramlee Musnah Teruk

Difahamkan  pusara Allahyarham P Ramlee dipercayai telah musnah teruk. Ini semua akibat dari sebuah pokok usang yang rebah dan menghempap kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang. Turut musnah adalah beberapa pusara termasuklah pusara Puan Sri Saloma, AR Tompel dan yang paling teruk musnah adalah pusara Allayarham Tan Sri p Ramlee. Bagaimana ia boleh terjadi? Jom kita lihat gambar di bawah ini.








Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. 

Wanita Seksi Mendakwa Dirinya Bekas Kekasih Carlos Tevez



LONDON - Seorang peserta siri realiti televisyen, Claudia Ciardone mendakwa dia menjalin hubungan dengan bintang bola sepak kelab Manchester City, Carlos Tevez.


Menurut akhbar The Sun, dia menjalin hubungan itu semasa Tevez masih mempunyai seorang kekasih yang juga seorang pelakon, Brenda Asnicar.

Claudia yang berambut perang dan berusia 28 tahun itu berkata, dia mula menjalin hubungan sulit dengan Tevez dari Argentina menjelang pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010.

Namun, katanya, dia meninggalkan Tevez, 27, selepas mendapat tahu bahawa bintang bola sepak itu menjalin hubungan dengan Asnicar, 19, yang membintangi siri televisyen Ugly Betty.

"Saya bersama Tevez sebelum, semasa dan selepas Piala Dunia. Saya memutuskan hubungan dengannya selepas mengetahui dia telah mempunyai teman wanita," katanya dalam satu program televisyen Argentina.
Claudia sebelum ini muncul dalam siri realiti Big Brother dan Dancing on Ice, kedua-duanya versi Argentina.

Selepas pendedahan tersebut disiarkan media Barat, bintang Manchester City tersebut yang dibayar gaji £150,000 (RM733,573) seminggu, menafikan dakwaan Claudia.


"Dengar sini, saya fikir mereka (Claudia dan pihak media) membabitkan saya dalam perkara yang tiada kena mengena dengan saya," kata Tevez.

Pada tahun lalu, Tevez berpisah dengan isterinya, Vanesa yang telah melahirkan dua cahaya mata semasa mereka hidup bersama.

Mayat Mati Dua Bulan Tapi Tidak Reput

As-syahid Zaid al Bawardi (Abu Usamah at-Tamimi) telah syahid 2 bulan yang lepas selepas pertempuran dengan militan Alawi tetapi saudara daripada FSA tidak dapat mengeluarkan mayatnya kerana tempatnya masih dikawal oleh militan Alawi.


Dua bulan selepas itu mereka berjaya membebaskan kawasan tersebut dan seorang daripada militan Assad yang ditahan telah menunjukkan kepada mujahidin dimana kubur As-syahid Zaid al-Bawardi.

Mereka telah menyorokkannya dibawah karpet yang dipenuhi habuk tetapi yang menakjubkan, tubuhnya masih segar seperti dia baru saja syahid semalam dan baunya sangat wangi!

Jin Di Dakwa Di Mahkamah




Merasa terganggu oleh kerenah jin yang menghuni rumah mereka, sebuah keluarga di Arab Saudi mendakwa jin ke mahkamah. Jin tersebut dituduh telah mengancam kehidupan mereka dengan sering membaling batu ke arah ahli keluarga dan mencuri telefon bimbit milik keluarga itu.


Seperti dilaporkan oleh media tempatan Al Watan, keluarga yang sudah menghuni rumah itu selama 15 tahun di Kota Madinah, akhirnya pindah setelah menyedari bahawa ada jin di rumah tersebut.

Ketua keluarga yang tidak mahu disebutkan namanya ini mengatakan pada awalnya mereka mula mendengar suara-suara aneh yang tidak terlalu dianggap serius. Namun lama kelamaan semakin banyak perkara aneh terjadi dan anak-anak mereka mula ketakutan ketika si jin membaling batu. Jin wanita dan jin lelaki malah bercakap dan meminta keluarga ini untuk pergi dari rumah tersebut.

Kes ini sedang dibicarakan di mahkamah tempatan yang sehingga kini masih mengesahkan kebenaran tuduhan tersebut.

Entah bagaimana cara mereka melakukan pengesahan dan bagaimana nantinya mengadili jin yang jadi terdakwa.

Malaysia Cipta Pesawat Pengintip SMART-V

Penggunaan peralatan canggih untuk tujuan risikan ketenteraan memang cukup penting. Penggunaannya bukan sahaja mampu memberikan maklumat yang tepat, malah dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa para anggota tentera yang terlibat dalam operasi mengumpul maklumat risikan.

Pesawat tanpa pemandu (UAV).

Anda juga pasti biasa mendengar tentang kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang sering digunakan oleh pihak tentera untuk melaksanakan operasi risikan yang berisiko tinggi.

Teknologi tersebut biasanya dikuasai oleh negara-negara maju. Namun melalui penyelidikan dan kajian mana-mana negara mampu menghasilkan UAV mereka sendiri.

Itu yang dilakukan ole sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berjaya menghasilkan sebuah UAV yang dikenali sebagai SMART-V.

SMART-V singkatan daripada Surveillance, Military Reconnaissance, Agriculture, Rescue and Terrain Monitoring Vehicle memiliki pelbagai kelebihan berbanding UAV sedia ada.

Menurut Pegawai Penyelidik UniMAP, Prof. Madya Dr. Hazry Desa, SMART-V merupakan kaedah terbaru untuk melaksanakan pemerhatian udara berbanding penggunaan kapal terbang dan helikopter.

Jelasnya, kaedah tersebut bukan sahaja lebih menjimatkan kos malah turut mudah untuk diatur gerak.

‘‘Melalui teknologi V/STOL (vertical oar short takeoff and landing), SMART-V sama seperti sebuah helikopter, namun lebih berkesan berikutan lebih stabil.

“Bagi mendapatkan gambar yang berkualiti tinggi, SMART-V dilengkapi bersama kamera definisi tinggi (HD) penuh bagi memudahkan tugas-tugas risikan ketenteraan, pemerhatian pertanian dan operasi menyelamat,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pameran Teknologi, Ciptaan dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) 2012 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Dr. Hazry, antara objektif utama ciptaan tersebut dihasilkan adalah untuk meningkatkan keberkesanan ketika terbang di udara.

Ini kerana, SMART-V dilengkapi empat bilah kipas atau rotot untuk menjadikannya lebih stabil ketika penerbangan.

Teknologi tersebut juga sudah pasti dapat mengurangkan kos untuk mendapatkan juruterbang profesional di samping caj yang dikenakan untuk melaksanakan satu-satu projek pemerhatian udara.

‘‘Malah kita juga dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa juruterbang serta pekerja pemerhatian udara dengan hanya menggunakan SMART-V," ujarnya.

Tambahan pula, SMART-V tidak memerlukan infrastruktur khas dan boleh diterbangkan dalam apa jua bentuk muka bumi.

Selain itu, pesawat ini juga mampu menghasilkan imej yang lebih stabil kerana penerbangannya yang stabil kerana di kawal oleh empat rotor.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, apabila sesuatu teknologi itu baharu tentul agak mahal.

Tetapi bagi SMART-V, ini merupakan antara teknologi yang dicipta untuk mampu dimiliki oleh sesiapa jua.

Malah, berdasarkan teknologi penerbangan menggunakan empat rotor, SMART-V juga mudah dikawal biarpun pertama kali dikendalikan oleh pengendalinya.

Bagi mengawal kamera yang terdapat pada SMART-V, Dr. Hazry menggunakan aplikasi yang lebih mudah dengan menambah paparan maya pada topi yang turut dipasang kamera.

Pergerakan kamera boleh dikawal dengan hanya menggerakkan kepala (pengendali memakai topi) dan pada masa yang sama mengawal SMART-V.

Jelas Dr. Hazry lagi, SMART-V mempunyai potensi yang besar dalam pasaran negara masa kini.

Antara agensi penguatkuasaan kerajaan yang boleh menggunakan khidmat SMART-V adalah seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Bagi agensi berkaitan perladangan, antara yang boleh menggunakannya adalah seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Malah, pesawat UAV ini juga boleh digunakan oleh pasukan pencari dan menyelamat seperti Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Apa yang pasti teknologi SMART-V tersebut hanyalah sebagai pencetus untuk lebih banyak lagi teknologi yang lebih canggih dapat dihasilkan pada masa akan datang.