Guiza dan Del Nero tinggalkan Johor DT

AKSI suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor malam ini bakal menjadi penampilan terakhir buat dua pemain import Johor Darul Takzim (Johor DT), Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Kedua-dua pemain itu akan meninggalkan Johor DT selepas berakhirnya perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) membuat keputusan untuk menamatkan kontrak mereka lebih awal.

PBNJ dalam kenyataannya semalam menjelaskan, keputusan untuk melepaskan Guiza dan Del Nero dibuat selepas mengambil kira kedudukan pasukan dan juga prestasi kedua-dua pemain setelah tamatnya pusingan pertama Liga Super minggu lepas.


Pemangku Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, kontrak pinjaman Guiza daripada kelab asalnya, Getafe FC akan berakhir dalam tempoh empat bulan lagi dan dia tidak boleh membantu Johor DT mengharungi kempen Piala Malaysia, Ogos nanti.
Del Nero pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan ini sedikit sebanyak menjejaskan prestasi- nya dalam pasukan.

Tidak dinafikan bahawa kedua-dua pemain, Daniel Guiza dan Simone merupakan pemain bertaraf antarabangsa yang telah banyak membantu pasukan berada di kedudukan sekarang tetapi keputusan ini terpaksa diambil."

Memandangkan musim perpindahan pemain akan dibuka pada 8 April ini, pihak pengurusan mengambil keputusan melepaskan kedua-dua pemain bagi membolehkan kami mencari pemain pengganti yang berkaliber untuk menggantikan mereka,” kata Obet dalam kenyataannya semalam.

Menurut Obet, pemain tengah pasukan Johor dalam Liga Premier, Andre Francisco Rocha Da Silva telah dikenal pasti untuk mengambil alih tempat Del Nero manakala beberapa pemain lain sedang diuji jurulatih pasukan, Fandi Ahmad bagi menggantikan tempat Guiza. 

Katanya, tiga pemain telah disenarai pendek dan pihak pengurusan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Guiza dan Simone atas jasa mereka kepada pasukan."

Saya akan pastikan bahawa pengganti mereka akan mempamerkan mutu persembahan yang lebih baik dan cemerlang berbanding pemain-pemain import sebelum ini bagi memastikan visi transformasi pasukan Johor DT tercapai,” katanya.

Guiza yang merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007-2008 ketika mewakili Mallorca, berjaya menyumbat lapan gol untuk pasukan Johor DT dalam 13 perlawanan bagi membolehkan skuad Harimau Selatan berada pada kedudukan ketiga Liga Super dan mara ke pusingan suku akhir Piala FA.

Sementara itu, Del Nero yang pernah membantu pasukan bawah 21 tahun Itali bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama, sering kali memanaskan bangku simpanan Johor DT kerana masalah kecederaan.



SUMBER - KOSMO

Guiza dan Del Nero tinggalkan Johor DT Unknown Rating: 5

0 KOMEN:

Post a Comment