Entah di mana silapnya apabila seorang pelajar
lelaki yang baru berusia 14 tahun telah dirotan beberapa kali
menyebabkan pahanya koyak. Pelajar itu mendakwa ia dirotan oleh seorang ustaz yang
berasal dari Bangladesh dan merupakan tenaga pengajar di
madrasah berkenaan. Ekoran daripada kejadian itu, pelajar tersebut telah
menerima 30 jahitan akibat rotan
yang dianggap melampau. Ibu bapa pelajar berkenaan mahu menuntut
ganti rugi, dan sekiranya tidak berbuat demikian mereka akan
memfailkan saman terhadap madrasah terbabit.
PUCHONG – Hanya kerana gagal menjawab
soalan yang ditanya, seorang pelajar di sebuah madrasah di Jengka,
Pahang didakwa telah dirotan sehingga tisu pahanya koyak dan
terpaksa menerima 30 jahitan.
Bapa mangsa yang berusia 40 tahun
berkata, kejadian malang menimpa anak ketiganya itu diketahui 27
September lalu selepas dimaklumkan oleh ibunya yang berada di Pahang.
Sebaik menerima panggilan telefon
mengatakan anaknya, pelajar berusia 14 tahun, demam teruk, dia
yang menetap di Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara, Puchong bergegas
pulang ke kampung pada malam hari sama.
Dia mendapati anaknya hanya terbaring,
tidak boleh berjalan dan kaki mengalami bengkak serta lebam. Apabila
bahagian paha ditekan, ia seolah-olah lembik di bahagian dalam.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia
kemudian membawa anaknya itu ke hospital dan pembedahan dilakukan Selasa
lalu apabila doktor memaklumkan bahagian dalaman paha anaknya
itu mengalami pendarahan teruk serta bernanah.
Doktor juga memberitahu kaki anaknya
dipercayai dipukul dengan benda keras.
Dakwanya, sejak hari kejadian anaknya
tidak boleh tidur malam kerana kaki asyik berdenyut dan sakit.
Apabila ditanya, anaknya itu memberitahu
dia dirotan sebanyak 15 kali oleh seorang ustaz warga
Bangladesh yang berkhidmat di madrasah terbabit.
Beliau berkata, anak sulungnya berusia
16 tahun yang turut menuntut di madrasah sama mendakwa nampak adiknya
dirotan.
“Nasib baik ibu saya yang tinggal
berhampiran madrasah datang menjenguknya selepas seminggu kejadian,
kalau tidak mungkin saya tidak tahu kerana pihak sekolah juga tidak maklumkan,”
katanya.
Katanya, anaknya kini trauma dengan apa
yang berlaku dan sejak itu dia terus mengeluarkan kedua-duanya
anak dari madrasah terbabit.
Katanya, anaknya yang mula menuntut ilmu
agama di madrasah terbabit sejak Mac lalu masih menerima rawatan di
sebuah hospital swasta di Subang Jaya.
“Sebelum ini mungkin dia pernah
dirotan tetapi tidak pernah mengadu kerana mungkin tidak serius.
Bagaimanapun, kali ini saya anggap ia teruk dan akan menuntut ganti
rugi kos perbelanjaan perubatannya,” katanya.
Pengadu turut sedih kerana anaknya
mempunyai keinginan tinggi menuntut ilmu agama tetapi diperlakukan
sedemikian rupa.
Menurutnya, Jika pihak madrasah enggan
penuhi tuntutan ganti rugi, dia akan memfailkan saman berhubung perkara
itu.
Turut mengecewakannya apabila pihak
madrasah yang berjanji datang menjenguk anaknya tidak berbuat demikian
meski sudah hampir dua minggu kejadian berlaku.