Hamidin janji akan pantau butiran perjanjian promoter dengan kelab
asing sebelum beri lampu hijau
Shah Alam: Jika Barcelona
tidak menegur mengenai keadaan rumput di Stadium Nasional, Bukit Jalil
yang ‘tak sesuai untuk perlawanan bola sepak’ rasanya sampai bila pun
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
mahu pun penganjur tak akan belajar.
Kecoh mengenai pertukaran
gelanggang ke Stadium Shah Alam pada saat-saat terakhir sehingga
menyulitkan orang ramai harus mengundang bicara kenapa pihak berkenaan
tidak menasihatkan promoter BSC Soccer (M) Sdn Bhd memilih gelanggang
lain selepas menyedari realiti sebenar keadaan rumput tidak sesuai untuk
perlawanan seperti ini.
KBS juga difahamkan sedar dengan masalah rumput di Stadium
Nasional, Bukit Jalil. Pada 6 Jun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar hadir memeriksa keadaan gelanggang dan rumput di
Stadium Nasional sebelum memutuskan ia perlu ditutup selama enam bulan
bermula Oktober ini untuk kerja menggantikan rumput baru.
Persoalannya, kenapa KBS dan FAM tidak tegas sebaliknya
membiarkan promoter berkenaan meneruskan acara mereka tanpa memikirkan
risiko seperti ini akan berlaku. Ini juga soal maruah negara kerana
media asing juga difahamkan menghebohkan kepincangan mengenai perlawanan
persahabatan itu.
Rujuk sebelum janji
Sebagai
langkah memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan, FAM
berjanji tidak akan memandang ringan sebaliknya akan memastikan promoter
merujuk kepada badan induk itu sebelum membuat perjanjian dengan kelab
ternama dunia dalam siri jelajah mereka.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata untuk
mengelak perkara seperti ini berulang, FAM akan lebih bertegas dengan
mana-mana promoter dan menganggap ia satu pengalaman kepada pihak
promoter dan FAM sendiri.
“Kami perlu peka dari segi persiapan
terutama penyediaan venue dan memperinci isi kandungan kontrak. Selepas
ini, kita akan pastikan mana-mana promoter perlu mengikut garis panduan
ditetapkan FAM dan jika gagal, kita takkan membenarkan mereka
menganjurkan perlawanan seumpama ini.
“Promoter tak boleh
sewenang-wenangnya membuat perjanjian yang melanggar garis panduan. Ia
supaya tidak berlaku seperti kunjungan kelab-kelab luar ini umpama
‘touch and go’ saja,” kata Hamidin ketika ditemui di Shah Alam, semalam.
Kongsi pengalaman, nasihat
Ada yang turut
menyalahkan FAM mengenai kekecohan yang berlaku sepanjang menjelangnya
perlawanan yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 3-1 kepada Barcelona,
malam kelmarin tetapi harus diingat badan induk itu hanya mempunyai
kuasa dalam hal-hal teknikal seperti menyediakan pasukan dan pemain,
padang, pengadil dan kebenaran untuk perlawanan manakala segala
keputusan lain ditetapkan oleh promoter dan kelab berkenaan.
Justeru Hamidin bakal mewajibkan beberapa perkara asas lain yang perlu
dimaktubkan dalam perjanjian antara promoter dan kelab terbabit pada
masa akan datang supaya ia lebih memberi faedah dan manfaat.
“Beberapa elemen perlu kita persetujui contohnya pengurus atau jurulatih
kelab-kelab ini perlu mengadakan sesi satu atau dua jam bersama
jurulatih-jurulatih FAM untuk berkongsi pengalaman dan nasihat selain
turut diadakan satu sesi bersama pengurusan tertinggi FAM dan termasuk
juga pihak media supaya kunjungan mereka ke sini lebih bermanfaat,”
jelas Hamidin.
0 KOMEN:
Post a Comment