Rock Oo Kembalikan Nostalgia Rock Kapak



Filem: Rock Oo

Arahan: Mamat Khalid

Lakonan: Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan, Pekin, Saiful Apek, Azmi Black

Genre: Komedi, Muzikal

Durasi: 90 Minit

Penerbit: Primeworks Studios Sdn Bhd dan Naga VXS Sdn. Bhd.

Tayangan: 28 Februari 2013


Komedi yang dibawakan dalam filem ini berbeza daripada filem komedi biasa apabila dalam masa yang sama mereka membawa watak mat rockers pada tahun 80-an. Mereka berjaya menubuhkan kumpulan yang bernama Rimba Bara.

Rimba Bara yang asalnya dari sebuah kampung berhijrah ke ibu kota mengejar impian untuk bergelar kumpulan rock yang popular. Namun sebelum menempa kejayaan, mereka lebih merasai pahitnya di mana mereka telah ditipu oleh pengurus mereka sendiri dan promoter konsert.

Namun, filem Mamat Khalid ini bukanlah diisi dengan komedi atau hiburan semata-mata, sebaliknya banyak elemen lain turut diselitkan iaitu paling jelas adalah persahabatan selepas mereka dilihat bersama-sama mengharungi susah senang dalam menempa nama di persada muzik tanah air ketika itu.

Disamping elemen komedi, filem Rock Oo juga turut diselangi dengan emosi sedih ketika mereka beberapa kali ditimpa malang dan rintangan ketika nekad hendak menempa nama di ibu kota.

Namun, kekuatan filem ini juga terletak pada pelakonnya juga apabila ia dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Que Haidar sebagai Amy Mat Piah , Khir Rahman (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan) dan Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah).

Setiap watak yang mereka bawakan nampak sangat hidup dengan karakter masing-masing yang berbeza-beza. Mereka tidak perlu terlalu mencuba untuk membawa watak mereka termasuk komedi kerana suasana yang dicipta oleh Mamat Khalid cukup sudah membuat penonton tertawa.

Meskipun Rock Oo ini seratus peratus mengisahkan mengenai pejalanan hidup seorang rockers tetapi penulis pasti bukan peminat rock seperti penulis juga turut terpikat dan menyukai filem ini kerana banyak elemen lain yang menarik untuk ditonton. Apatah lagi, peminat muzik rock tempatan.

Namun, terdapat juga elemen sindirin terhadap kumpulan rockers yang berambut panjang apabila terdapat babak yang memaparkan kenangan saat kerajaan mengharamkan lelaki berambut panjang keluar ditelevisyen dengan memotong rambut rocker yang berambut panjang di depan khalayak.

Selain itu, filem Rock Oo yang bergenre muzikal ini telah dilengkapkan lagi dengan lagu-lagu yang popular pada zaman 80-an tanah air pada setiap plot cerita. Antara lagu-lagu yang menjadi fenomena pada zaman itu adalah Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kacamata & Sendiri (May), Meniti Titian Usang, Rozana & Pawana (Search), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Tika Dan Saat Ini (Medicine) dan Sejuta Wajah & Teratai (Sweet Charity).

Turut dipaparkan Untukmu Sayang (Febian), Misteri Mimpi Syakila & Intanku Kesepian (Wings), Srikandi Cintaku (Bloodshed) serta Suci Dalam Debu (Iklim).
Kesimpulannya, filem ini sangat menarik untuk ditonton oleh semua golongan kerana semua elemen yang diapaprkan ada pengajaran dan mesej yang hendak disampaikan.

Sinopsis
Filem Rock Oo merupakan kesinambungan Rock (2005) yang memaparkan kisah kehidupan kumpulan Rimba Bara yang telah berpecah dan kini bersatu semula atas azam dan kata-kata semangat Amy Mat Piah (Que Haidar) : "Pantang anak petani moden mengundur kalah."

Semangat ahli kumpulan Rimba Bara terpupuk semula dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan di ibukota dan di kampung. Mereka harus mencari jalan penyelesaian untuk setiap rintangan yang datang bagi merealisasikan impian mereka untuk menjadi kumpulan rock yang terkenal di persada seni tanahair. Apakah kelainan yang bakal ditonjolkan oleh Mamat Khalid menerusi filem Rock Oo dan adakah filem ini lebih menyengat dari yang asal? Semuanya terjawab dalam filem Rock Oo.

Rock Oo Kembalikan Nostalgia Rock Kapak Unknown Rating: 5

0 KOMEN:

Post a Comment